Pada malam terakhir perkhemahan musim panas, saya yang ketika itu masih remaja, berasa malu kerana saya seorang diri di tengah-tengah peserta kem lain. Apabila salah seorang mengejek saya, hati saya tergores. Saya lari ke khemah dan berpura-pura tidur apabila ketua kumpulan datang melihat-lihat keadaan saya. Keesokan paginya, saya mengelakkan dia untuk bercakap tentang hal itu.

Kemudian ketua kumpulan menulis surat kepada saya, membantu saya faham bahawa Tuhan benar-benar mengambil berat tentang saya. Dia memetik ayat daripada rasul Paulus: Kita boleh “yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus” (Filipi 1:6). Saya merasakan kata-kata rasul itu memang ditujukan kepada saya.

Paulus menulis kepada jemaah di Filipi, yang telah ditubuhkannya lebih sedekad sebelum itu, untuk menggalakkan supaya kasih mereka kepada Tuhan dan sesama manusia semakin mendalam dan berakar umbi pada “pengetahuan dan pengertian” (ayat 9). Tuhan akan terus bekerja dalam hidup mereka dan melalui mereka apabila Dia memenuhi mereka “dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus” (ayat 11). Pada masa itu saya belum memahami maksud asal ayat tersebut, tetapi saya mula mengerti bahawa saya sebenarnya seorang yang dikasihi Tuhan, dan itu berlaku apabila saya mengenal dan menerima kasih Yesus.

Tuhan mahu kita menerima kasih-Nya dan juga mahu agar kasih-Nya itu melimpah ruah dalam diri kita. Apabila Dia memenuhi kita dengan sukacita dan damai sejahtera-Nya, kita akan semakin mengenal Tuhan dan memahami kebaikan yang sedang dilakukan Tuhan dalam hidup kita.