Sekurang-kurangnya dia lulus, fikir Jess sambil memegang kertas ujian. Dia telah membantu anak lelakinya untuk mengulang kaji matematik. Akan tetapi, kerja-kerja rumah dan kerja tambahan daripada majikannya kebelakangan ini menyebabkan masa belajar bersama anak lelakinya menjadi sukar. Jess, yang tawar hati itu, memikirkan isterinya Lisa yang telah meninggal dunia: Lisa pasti tahu apa yang perlu dilakukan. Aku bukan pengurus rumah sebaik Lisa dulu.

Dalam konteks yang lebih luas, kekecewaan sebegitu mungkin juga dirasakan oleh Zerubabel. Gabenor Yehuda itu telah dipanggil oleh Tuhan untuk memimpin orang Israel membina Bait Suci semula selepas menjadi tawanan di Babel. Apabila mereka meletakkan asas Bait Suci, antara mereka “yang pernah melihat bait terdahulu, banyak yang menangis dengan suara nyaring” (Ezra 3:12). Bait Suci Salomo yang penuh kemegahan masih berlegar-legar dalam ingatan pada ketika itu, apabila pembinaan bait yang lebih kecil dimulakan. Bait Suci kita ini tidaklah sebaik yang dahulu, semua pasti berfikir demikian, termasuk Zerubabel sendiri.

“Namun begitu, kuatkanlah hatimu, wahai Zerubabel,” TUHAN juga berfirman kepada semua umat-Nya: “Aku menyertai kamu… Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!” (Hagai 2:4-5). Zerubabel dapat dikuatkan semula kerana Tuhan berjanji akan menyertai dan membimbing dia, yang sejajar dengan ikatan perjanjian-Nya dengan mereka (ayat 5). Selain itu, “kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya,” TUHAN berfirman (ayat 9), menunjukkan ketika Yesus sendiri akan mengunjungi Bait Suci (Yohanes 2:13-25).

Kita mungkin tawar hati terhadap tugas yang dipangil Tuhan untuk kita lakukan, malah membandingkan hasil usaha kita masa sekarang dengan masa lalu. Marilah kita berfokus pada rancangan Tuhan untuk masa ini, kerana kerja dan tujuan yang kita lakukannnya milik-Nya, bukan milik kita.