Orang yang pertama kali melancong ke luar negara biasanya membawa terlalu banyak barang. Ini kerana mereka takut berjauhan dari rumah dan bimbang ada benda yang tertinggal. Namun, satu artikel baru-baru ini menjelaskan bahawa membawa terlalu banyak barang boleh mendatangkan masalah. Penulis artikel itu menasihatkan agar kita tidak membawa barang tambahan seperti syampu, pengering rambut (yang sudah tersedia di kebanyakan hotel), kasut, dan buku kerana barang-barang itu besar dan berat. Tambah penulis lagi, pelancong akan menyesal membawa beg yang berat kerana mereka akhirnya terpaksa mengheret dan mengangkat beg ketika berjalan di jalan-jalan berbatu yang tidak rata seperti di Eropah.
Dari satu segi, inilah metafora yang kena pada tempatnya bagi nasihat perjalanan yang diberikan oleh rasul Paulus: “Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya” (1 Timotius 6:7). Dia mengaitkan nasihat ini dengan masalah memiliki terlalu banyak harta benda: “Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya,” dan dia memberikan amaran bahawa bagasi yang berlebihan merupakan “perangkap” yang membawa “kerosakan dan kemusnahan” (ayat 9). Orang beriman mempunyai destinasi perjalanan yang berbeza, kerana semua yang kita perlukan telah disediakan oleh Tuhan—“segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati” (ayat 17).
Mungkin ada baiknya untuk kita hari ini ingat bahawa apa yang kita kumpulkan dalam hidup adalah sia-sia. Kita tidak boleh membawanya bersama. Dengan “sedia memberi, rela berkongsi” (ayat 18), Paulus berkata bahawa kita “mengumpulkan harta … untuk masa depan.” Inilah tip perjalanan terbaik, rahsia kepada “hidup kekal, iaitu hidup sejati” (ayat 19, TMV).
