Pada tahun 1848, jurutera Charles Ellet Jr. berfikir-fikir bagaimana hendak memulakan proses membina jambatan pertama di atas gaung Air Terjun Niagara. Bagaimanakah mereka dapat memasang kabel untuk merentangi sungai? Didorong oleh impian, Charles memutuskan untuk menganjurkan satu pertandingan menerbangkan layang-layang. Homan Walsh, seorang remaja dari Amerika telah memenangi lima dolar apabila layang-layangnya mendarat di sungai sebelah Kanada. Tali layang-layang Homan diikat pada sebatang pokok dan digunakan untuk menarik tali ringan ke seberang sungai, kemudian tali semakin berat sehingga kabel wayar berat dipasang. Inilah permulaan kecil bagi pembinaan Jambatan Gantung Air Terjun Niagara.
Cabaran membina jambatan dan permulaan yang sukar mencerminkan apa yang dihadapi oleh mereka yang bekerja untuk membina Bait Suci TUHAN semula selepas pulang daripada tawanan di Babel. Malaikat membangkitkan semangat nabi Zakharia dengan mesej bahawa tiada apa-apa yang akan menggagalkan pekerjaan Tuhan—semuanya akan disempurnakan “oleh Roh-[Nya]” (Zakharia 4:6). Beberapa orang yang pernah melihat Bait Suci dalam kemegahannya sebelum ini takut bahawa versi yang dibina semula tidak semegah bait terdahulu (Ezra 3:12). Malaikat pun menggalakkan Zakharia supaya mereka tidak “memandang hina hari terjadinya hal-hal yang kecil,” kerana Tuhan akan “bersukacita” melihat pekerjaan itu bermula (ayat 10).
Walaupun tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita mungkin kelihatan kecil, kita boleh terdorong kerana mengetahui Dia akan menggunakan perkara-perkara kecil—seperti tali layang-layang—untuk melaksanakan kerja-kerja-Nya yang besar.
