Kadang-kadang kata-kata hikmat diujar apabila kita langsung tidak menjangkakannya. Itulah yang berlaku baru-baru ini semasa saya membaca satu artikel mengenai Travis Kelce, seorang pemain bola sepak Amerika. Seorang jurulatih yang kecewa pernah memberitahunya, “Setiap orang yang anda temui di dunia ini sama ada merupakan mata air atau longkang.” Anda mungkin dapat mengetahui Kelce itu yang mana satu!

Mungkin setiap kita memiliki sedikit sebanyak dua elemen itu dalam diri kita. Akan tetapi, pada bila-bila masa tertentu, kita mungkin berkelakuan sebagai mata air ataupun sebagai longkang. Panggilan kita untuk mengikut Yesus bermakna kita akan lebih banyak menjadi mata air yang hidup dan bukannya menjadi longkang.

Saya terdengar idea yang sama dalam Filipi 2. Paulus mencabar kita untuk meneladani kerendahan hati Yesus dan memberikan tumpuan kepada orang lain. Paulus membezakan apa yang menyusutkan hidup daripada orang lain dengan apa yang memenuhi hidup mereka: “Janganlah lakukan apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain” (ayat 3-4). Sedikit kemudian dalam fasal ini, dia menambah kata ini dengan terus terang, “Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah” (ayat 14).

Bagaimanakah rupanya menjadi longkang? Mementingkan diri sendiri dan sombong; merungut dan bertikai. Bagaimana pula menjadi mata air? Paulus berkata tentang Timotius, “Tiada seorang bersamaku yang sama sepertinya dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwalmu” (ayat 20).

Adakah kita lebih menjadi seperti mata air atau longkang? Itulah soalan yang patut direnungkan semasa kita berusaha untuk memberkati orang lain.