“Kenapa awak menangis?” Soalan itu ditanyakan oleh seorang sukarelawan untuk sebuah misi bantuan Kristian. Mereka telah datang untuk menolong mangsa yang mengalami kemusnahan rumah akibat Taufan Helene. Wanita itu (yang menitiskan air mata sebelum itu) menjawab, “Saya tidak menangis kerana saya kehilangan segala-galanya. Saya menangis kerana kasih yang kalian tunjukkan.”

Ini memang kehendak Tuhan agar kita membantu mereka yang ada keperluan. Ketika Musa memberikan arahan Tuhan kepada umat Israel sebelum mereka memasuki tanah yang dijanjikan-Nya, dia berkata kepada mereka, “Jangan keraskan hatimu dan jangan tutup tanganmu terhadap saudaramu yang miskin itu. Sebaliknya, bukalah tanganmu lebar-lebar baginya dan berilah pinjaman dengan murah hati kepadanya untuk mencukupkan sebarang kekurangan yang dialaminya” (Ulangan 15:7-8). Hati mereka terhadap orang miskin harus mencerminkan hati Tuhan: “Berilah dengan murah hati. Janganlah hatimu berat ketika engkau memberikan kepadanya.” (15:10).

Sama ada dalam situasi bencana atau kehidupan seharian, apabila kita memberi berkat yang kita terima daripada Tuhan kepada mereka yang memerlukan, kita menyatakan kasih Anak-Nya, yang datang “untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin” (Lukas 4:18). Sebenarnya, Tuhan berjanji bahawa Dia “akan memberkati” mereka yang berkongsi murah hati-Nya dengan orang lain (Ulangan 15:10), baik dalam kehidupan ini dan kelak (lihat Lukas 14:14). Kita belum dapat melihat Tuhan, tetapi orang lain mungkin dapat nampak Dia selayang pandang apabila kita mencontohi belas kasihan-Nya kepada mereka. Semoga hari ini kasih Tuhan dapat diperlihatkan melalui perbuatan kita yang penuh kebaikan.