Dalam bukunya Generation to Generation (1985), Edwin Friedman, seorang pakar terapi keluarga dan Rabi (guru agama Yahudi) memperkenalkan konsep “ketidakgelisahan”. Kemudian dia menjelaskannya lebih lanjut dalam bukunya, A Failure of Nerve. Menurut Friedman, “Suasana zaman moden di Amerika sudah terlalu lama hidup dalam kekhuatiran yang kronik, sehingga masyarakat kita mengalami kemerosotan emosi yang toksik bagi kepimpinan yang sihat dan berpendirian tegap.” Friedman menegaskan bahawa kekhuatiran kronik seperti ini boleh merebak dalam komuniti seperti keluarga, tempat kerja, atau gereja. Bagaimanapun, Friedman juga menegaskan bahawa seorang pemimpin yang hadir dalam keadaan ketidakgelisahan, yakni secara tenang dan stabil boleh memberi kesan yang sebaliknya, pemimpin sedemikian boleh menjadi sumber kesejahteraan di tengah-tengah krisis.
Daud menulis Mazmur 4 di salah satu badai hidupnya. Masa itu dia berada dalam cengkaman kekhuatiran. Maka dia berseru kepada Tuhan: “Jawablah apabila aku berseru kepada-Mu, ya Allahku yang benar. Kurangkan penderitaanku; kasihanilah aku dan dengar doaku” (ayat 1). Walaupun nyawanya diragut, dia juga sedar bahawa para pengikutnya turut takut: “Ramai yang bertanya, ‘Siapa dapat menunjukkan kita kebaikan?’” (ayat 6).
Keputusan Daud untuk mempercayai Tuhan telah membantu dia tetap tenang walaupun dia masih berada dalam kegelisahan! “Aku akan berbaring dan tidur dalam sejahtera,” katanya. Daud dapat beristirahat kerana “hanya Engkau, ya TUHAN, membolehkan aku tinggal dengan selamat” (ayat 8).
Kita juga boleh beristirahat dalam ketidakgelisahan yang diberikan Tuhan. Kita boleh menyebarkan damai sejahtera-Nya ke mana-mana sahaja kita pergi.
