Owen sedang bercuti di luar negara apabila dia menerima mesej yang mengganggu daripada seorang rakan sekerja: “Bos sedang mencari pengganti kamu.” Dengan kecewa, dia berdoa pada suatu waktu subuh dan bertanya kepada Tuhan, “Di manakah Engkau?” Kemudian dia pergi ke tingkap untuk membuka langsir—dan ternampak pelangi yang besar dan cantik merentasi tasik di luar. Dengan serta-merta kehangatan yang menenangkan menyelubungi dirinya. “Seolah-olah Tuhan memberitahu saya, ‘Jangan bimbang; Saya di sini,’ “ dia bercerita kemudian.

Dalam Kejadian 9, Tuhan berjanji Dia tidak akan memusnahkan bumi dengan banjir lagi. Dia berjanji, “Apabila pelangi muncul di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi” (ayat 16). Perjanjian ini kekal dan tidak bersyarat. Ia bergantung sepenuhnya pada perlindungan dan ketentuan Tuhan, bukan pada prestasi manusia. Itu hanyalah janji pertama daripada banyak janji yang akan diberikan Tuhan kepada umat-Nya. Yesus juga berkata, “ Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:20).

Tuhan tidak berjanji bahawa kita tidak akan menderita. Tetapi Dia sendiri berjanji bahawa penghiburan dan kehadiran-Nya akan sentiasa bersama kita. Mungkin Dia tidak akan menjawap kita melalui “pelangi,” tetapi kita mempunyai jaminan-Nya bahawa tidak kira apa yang berlaku dalam hidup kita, Dia sentiasa hadir untuk kita, dan kita boleh bergantung pada kekuatan, penghiburan dan kehadiran-Nya.