Pelajar-pelajar perubatan di Kolej Perubatan Albert Einstein telah membanjiri sebuah auditorium untuk mendengar ucapan Ruth Gottesman yang berusia sembilan puluh tahun dengan teliti. Semasa dia mengakhiri ucapannya, Ruth membuat pengumuman ini: dia akan menderma $1 bilion supaya para pelajar boleh menamatkan pengajian mereka secara percuma. Sorakan dan tangisan kegembiraan terus kedengaran, dan auditorium menjadi hiruk-pikuk. Inilah sumbangan terbesar yang pernah diberikan kepada sekolah perubatan. Namun dalam temu bual yang menyusul, anda pasti menyangka bahawa Gottesman merupakan penerima hadiah itu. Wajahnya memancarkan kesyukuran, kegembiraan, dan penghormatan kerana dia dapat mendermakan wangnya.
Amsal memberitahu kita bahawa inilah hasil yang dibawa oleh kemurahan hati. Orang yang “suka beramal jariah (atau ‘memberi’),” jarang akan berasa kekurangan atau kehilangan, sebaliknya mereka mendapat berkat yang tidak dijangka (11:24). Apabila kita membuka tangan kita kepada orang lain, kita memperoleh sesuatu yang lebih—bukannya kurang. “Orang yang memberikan air kepada orang,” Kitab Suci berkata, “dia sendiri akan diberi minum” (ayat 25). Kita sering tergoda untuk menggenggam erat apa sahaja yang kita ada, takut kita akan mengalami kerugian atau dibiarkan tanpa apa-apa. Walau bagaimanapun, “sistem ekonomi” Tuhan berfungsi secara berbeza. Yesus melangkah lebih jauh, malah berkata, “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima” (Kisah Para Rasul 20:35).
Kita boleh menjalani kehidupan dan memakai sumber kita dengan murah hati, menawarkan apa yang kita ada kepada orang lain yang memerlukan. Sebagai balasan, kita akan mendapati bahawa kita akhirnya menerima juga. Dalam kerajaan Tuhan, semua orang akan dikurniai rahmat-Nya yang berkelimpahan.
