Selepas mengelap meja dengan disinfektan dettol, Shelia membongkok untuk mengikat beg sampah yang berisi cawan dan pinggan terpakai. Dia mengangkat beg ke bahunya serta memeriksa bilik serba guna di gereja itu. Dia dengan sukarela membersihkan bilik itu untuk perhimpunan seterusnya dan ingin memastikan segala telah bersiap sedia. Fikiran ini terlintas di mindanya: Adakah sesiapa perasan?
Sering kali kita tertanya-tanya sama ada sumbangan harian kita kepada kerajaan Tuhan akan dihargai. Sama ada kita membersih, mengurus akaun, memimpin kelas Alkitab, atau menderma dengan setia, ramai antara kita melayani tanpa diperhatikan atau nama kita tidak pernah dipuji di khalayak ramai.
Bagaimanapun, dalam Lukas 8:1-2, penulis kitab ini menyenaraikan pelayanan para wanita yang setia dalam pelayanan Yesus. Dia menyenaraikan tiga nama dalam kalangan wanita yang dibebaskan daripada roh jahat dan penyakit: Maria Magdalena; Yohana isteri Khuza, iaitu pegawai istana Herodes; dan Susana. Kemudian Lukas berkata, “ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Yesus serta murid-murid-Nya” (ayat 3). Lukas menonjolkan wanita yang tidak disebutkan namanya ini dan mengabdikan diri mereka dalam menyokong misi penginjilan, sekali gus menekankan nilai hidup mereka.
Seperti Tuhan memasukkan sumbangan wanita yang tidak disebutkan nama dan begitu berharga kepada kerajaan-Nya dalam Alkitab, Dia juga melihat usaha kita. Dia tahu nama kita (Yohanes 10:3), dan Dia melihat “kerja serta usaha kasih” kita ketika kita melayani Dia (Ibrani 6:10).
