Apabila lengan atas saya patah, rakan saya, Rex, telah mengejutkan saya dengan menghantar sekotak sup beku bersama satu senduk perak yang cantik. Saya sangat terharu dan menyimpan senduk itu baik-baik, walaupun sup itu sudah lama habis dimakan. Kini tangan saya sudah sembuh. Rakan saya Rex pula telah meninggal dunia, tetapi tindakan kasihnya terus menunjukkan kasih Tuhan kepada saya. Setiap kali saya mengangkat senduk itu, saya bersyukur kepada Tuhan atas kasih-Nya kepada saya melalui rakan saya.

Yesus memberi kita sebuah hadiah yang boleh dilihat dan disentuh dalam upacara Perjamuan Kudus untuk membantu kita mengingati kasih-Nya yang tiada tandingan kepada kita (Lukas 22:19). Rasul Paulus mengingatkan jemaah Korintus bagaimana Yesus memecah-mecahkan roti, dengan berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku” (1 Korintus 11:24). Kemudian Kristus “mengambil cawan itu sambil berkata, ‘Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku.’ ” (ayat 25). Kasih Tuhan yang melimpah ruah diingati berulang kali apabila kita mengambil roti dan mengangkat cawan itu sebagai orang yang percaya kepada Kristus.

Rex menunjukkan kasihnya melalui hadiah yang boleh dilihat dan disentuh, iaitu sekotak sup berserta penjagaan. Dia meninggalkan senduk yang mengingatkan saya kepadanya dari bulan ke bulan. Yesus pula menunjukkan kasih-Nya melalu hadiah yang sangat besar, iaitu tubuh-Nya yang dikorbankan di kayu salib untuk mengampuni dosa kita. Dia meninggalkan kita amalan Perjamuan Kudus supaya kita sentiasa mengingati kasih-Nya yang tidak pernah berubah.