Apakah baiknya tentang Good Friday (juga dikenali sebagai Jumaat Agung)? Mengapa ia tidak dipanggil Jumaat Buruk atau Jumaat Sedih? Lagipun, kita patut merenungkan hari itu dengan kesedihan, bukan dengan sikap perayaan. Kadangkala, hari ini mengambil nama lain, seperti Jumaat Suci. Di Jerman, ia dipanggil Karfreitag yang bermaksud Jumaat yang Menyedihkan. Jadi dari mana kita mendapat tradisi memanggilnya “Baik”? Ada yang percaya ia mungkin berasal daripada tradisi lama dalam bahasa Inggeris yang memanggilnya “Jumaat Tuhan” (God’s Friday).

Walau apa pun asal usul nama itu, hari Jumaat ketika Yesus mati tetap sesuai dipanggil “baik”. Kerana kasih Yesus yang sanggup berkorban, Dia mati untuk mengampuni dosa kita. Sebab itulah Jumaat Agung dianggap baik. Berita yang sangat baik ialah tiga hari kemudian, Yesus hidup semula dari kubur dan menang kerana Dia telah mengalahkan maut.

Cendekiawan Perjanjian Baru, D.A. Carson menulis, “Bukan paku yang menahan Yesus pada salib yang menyedihkan itu; tetapi tekad-Nya yang tidak berbelah bahagi, dan kasih kepada Bapa-Nya sehingga Dia tetap melakukan kehendak Bapa-Nya—inilah kasih-Nya kepada orang berdosa seperti saya.” Kita membaca dalam 1 Yohanes 4: “Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Anak-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita” (ayat 10).

Berita baik daripada Jumaat Agung ialah Tuhan mengasihi kita dan ingin mempunyai hubungan dengan kita! Kerana kasih itu, kita dipanggil untuk mengasihi orang lain (ayat 7, 11). Apabila kita berbuat demikian, kita menunjukkan kasih kita kepada-Nya.