Ayah saya seorang yang rajin bekerja di ladang dan di kilang, tetapi dia bukan seorang yang pandai membaiki barang. Adakalanya, apabila traktor, mesin pemanas rumah, atau paip air rosak, jiran atau rakan akan datang membaikinya. Ayah menawarkan untuk membayar walaupun dia tahu dia tidak mampu membayar yang sepatutnya diterima mereka. Tetapi mereka menolak; mereka hanya suka membantu. Ayah akan berkata, “Terima kasih, semoga anda dibayar lebih nanti.” Saya masih tak pasti apa yang dimaksudkan ayah. Mungkin ini bermaksud ayah atau orang lain akan membalas bantuan mereka pula pada masa lain.

Orang Kristian yang melayani orang lain kerana kasih akan diberikan ganjaran suatu hari nanti. Mungkin itulah satu bentuk “semoga anda dibayar lebih nanti.” Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya untuk “mengumpulkan harta di syurga” (Matius 6:20). Berbuat baik kepada orang lain mungkin salah satu cara untuk menyimpan sebahagian “harta” tersebut. Dia berkata kita tidak seharusnya menghebohkan tindakan kita di muka umum dengan “meniup sangkakala”; jika kita berbuat demikian, itulah sahaja ganjaran yang akan kita perolehi (ayat 2). Kita boleh yakin Dia melihat perbuatan kita. Kitab Ibrani mengukuhkan idea ini: “Allah . . . tidak akan melupakan kerja serta usaha kasih yang telah kamu tunjukkan untuk nama-Nya, iaitu kamu telah dan sedang melayan orang yang salih” (6:10).

Kita melayani bukan untuk mendapatkan ganjaran tetapi kerana Yesus mengasihi kita. Sebagai balasannya, kita menyatakan kasih dan pujian kita kepada-Nya. Betapa besarnya berkat apabila kita dapat mendengar Tuhan berkata, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia!” (Matius 25:21, 23).