“Ini bukan salahku!” Han Solo berseru dalam filem The Empire Strikes Back apabila kapal angkasanya diserang dan nampaknya tiada jalan keluar, hanya kerana satu pembaikan yang belum dibuat. Ketika dia berkata demikian, orang menjangka dia sekurang-kurangnya harus bertanggungjawab atas kelalaiannya, tetapi dia tidak mahu mengakuinya.
Saya pun pernah begitu. Kadang-kadang lebih mudah menyalahkan orang (atau sesuatu) lain, daripada mengaku kesalahan sendiri. Kitab Suci menunjukkan kepada kita bahawa kecenderungan ini sudah lama berlaku sejak wujudnya dosa. Adam dan Hawa melakukannya (Kejadian 3:11-13), begitu juga Harun. Ketika Musa menerima Sepuluh Hukum bersama Tuhan di Gunung Sinai, Tuhan memberitahunya bahawa orang yang baru dibebaskan-Nya dari perhambaan telah berpaling untuk menyembah berhala (Keluaran 32:7-8). Apabila Musa kembali dan berhadapan dengan Harun (yang telah ditugaskan Tuhan untuk menjadi pemimpin orang Israel), Harun menjawab, “tuan sendiri tahu betapa jahatnya umat ini” (ayat 22). Kemudian dia memberi alasan untuk mempertahankan patung berhala yang dia sendiri buat, “Mereka pun memberikannya kepadaku dan aku menuangkannya ke dalam api, lalu keluarlah arca anak lembu ini!” (ayat 24).
Walaupun kita cederung memberontak, Tuhan menawarkan pengampunan kepada kita apabila kita mengakui kepada-Nya bahawa kita telah melakukan kesalahan. Tuhan meyakinkan kita, “Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita” (1 Yohanes 1:9). Tuhan mengampuni dan menerima kita. Jadi, kita boleh jujur akan kesalahan dan kelemahan diri kepada Tuhan yang menanggung segala kesalahan kita di salib. Semua itu kerana kasih Tuhan yang besar dan sanggup berkorban.
