Pada tahun 2024, seorang remaja bernama Keegan berjaya memancing seekor ikan siakap sepanjang 61 sentimeter. Dia berasa sangat gembira. Tetapi kegembiraannya bertambah apabila adik perempuannya menemukan satu tag pada ikan itu. Rupanya ikan itu bernilai 1 juta dolar kerana ia merupakan hadiah pertama bagi suatu pertandingan memancing ikan di Australia. Acara tahunan ini telah diadakan sejak tahun 2015; Keegan ialah orang pertama yang memenangi hadiah wang tunai terbesar itu—hadiah idaman setiap orang.
Peluang untuk menangkap ikan tersebut adalah tipis, apatah lagi menangkap seekor ikan secara rawak yang ada syiling di dalam mulutnya. Tetapi dalam Injil Maitius, Yesus memesan Petrus, iaitu pengikut-Nya “Pergilah memancing di laut dan . . . ambillah ikan pertama yang kau tangkap; bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham” (17:27).
Latar tentang tangkapan yang luar biasa ini adalah soalan yang diajukan kepada Yesus bahawa Dia harus membayar cukai Bait Suci (ayat 24). Betapa ironinya kerana orang mendesak Yesus, yakni Anak Tuhan, untuk menyokong Bait Suci Tuhan dengan membayar cukai. Yesus memahami kontradiksi di sebalik soalan ini, maka Dia menunjukkan bahawa anak-anak raja tidak membayar cukai kepada raja (ayat 25-26).
Tetapi tidak usahlah Yesus dengan sengaja “menyinggung perasaan” orang serta mengalihkan perhatian orang lain daripada ajaran-Nya supaya Dia dapat mengelak untuk membayar cukai(ayat 27). Oleh itu Yesus mengarahkan Petrus untuk menangkap ikan itu, yang mempunyai nilai yang tepat untuk membayar cukai-Nya dan cukai Petrus! Mungkin kejadian ini adalah sebahagian peringatan kepada Petrus—dan kita—bahawa Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan dan sentiasa bersama anak-Nya ketika kita mengikut-Nya.
