Emily Kenward baru sahaja menjadi seorang yang percaya kepada Yesus. Dia tinggal di Lavender Street, Brighton, England. Suatu hari, ketika berjalan di jalan tersebut, dia mula melihat sekelilingnya dengan lebih prihatin. Dia mendapati bahawa banyak rumah yang bertutup langsir pada waktu siang. Dia perasan ramai warga emas tinggal di situ, tetapi mereka jarang keluar dan kelihatan sunyi. Maka, dia pun mula berfikir dan mendapat satu idea.

Emily pergi mencari di mana warga emas tinggal. Dia menjemput mereka datang minum petang. Apabila mereka datang, mereka menceritakan kepada Emily bahawa mereka tinggal bersendirian, sunyi dan jarang berjumpa orang. Mereka ingin sekali ada orang melawat mereka.

Apabila kita percaya kepada Yesus, kita mengalami perubahan dalam cara kita bertindak terhadap dunia dan keperluannya. Ini berlaku kepada orang-orang di Tesalonika. Setelah mereka percaya kepada Tuhan (1 Tesalonika 1:9), cara hidup mereka berubah dan mereka menjadi teladan iman yang baik kepada orang lain (ayat 6-7). Rasul Paulus melihat “[mereka] telah bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih” (ayat 3). Iman yang sejati telah mendorong mereka melakukan perbuatan kebajikan yang memuliakan Yesus.

Emily begitu terharu dengan apa yang didengarnya sewaktu minum petang itu sehingga dia memulakan sebuah badan amal yang menghubungkan warga emas Brighton dengan pelawat sukarela. Dia teringat seorang wanita memeluknya erat, menangis teresak-esak, bersyukur kerana akhirnya dia dapat berasa menikmati apa yang dilihat dan didengar. Pelayanan itu berkembang, memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Ini membuatkan saya tertanya-tanya, apakah yang dapat anda dan saya lakukan untuk orang lain hari ini, kerana terdorong oleh kasih sayang yang diilhamkan oleh Roh Kudus?