Semasa aku menulis kata-kata ini, anjing kecil kami, Winston, yang berbaka Lhasa Apso, berbaring melingkar di kakiku. Apabila aku pergi ke meja makan yang berjarak kira-kira 3 meter jauhnya, ia terus mengikutku. Bagi Winston, jarak itu terlalu jauh.Kebelakangan ini, aku kerap pergi bekerja di tempat jauh. Aku rasa perkara itu memberi kesan kepada Winston. Setiap kali aku menyebut bahawa aku mahu “pergi”, Winston akan merapati aku, seakan-akan ‘berpaut kepadaku’ kerana ia tidak mahu berjauhan dariku.
Dalam hubungan manusia, biasanya seseorang yang asyik “berpaut” (atau terlalu bergantung secara emosi, bukan sekadar fizikal) bukanlah sesuatu yang diberi pujian. Tetapi saya melihat dalam konteks anjing saya itu, ia menggambarkan kebergantungan yang jelas tentang kepercayaan, seperti yang digambarkan dalam Mazmur 63.
Dalam permulaan mazmur ini, Daud melukiskan gambaran kebergantungan yang penuh kasih kepada Tuhan: “Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku akan mencari-Mu segera; jiwaku dahaga kepada-Mu, jasadku merindui-Mu” (ayat 1). Dalam ayat 3, dia menambah, “Kerana kasih-Mu lebih bernilai daripada nyawa, bibirku akan memuji-Mu.” Di akhir kata, kita boleh membaca, “Aku berpaut kepada-Mu; tangan-Mu yang kuat menopang aku” (ayat 9 TMV).
Seperti Daud—dan mungkin juga seperti anjingku yang bergantung padaku—aku ingin bergantung kepada Tuhan dengan segenap hatiku, dengan sungguh-sungguh mencari Dia. Kadang-kadang, aku bergantung pada-Nya. Pada masa yang lain, hatiku menjadi dingin, dan kurang percaya kepada Tuhan. Tetapi apabila aku bertaubat daripada ketidakpercayaanku yang tidak tetap dan kembali kepada-Nya, aku yakin bahawa Dia sahaja yang dapat memenuhi aku. Hanya Dia yang akan membuatkan aku “berasa puas seperti dijamu (ayat 5).
