Slow Television (TV perlahan) ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan liputan sesuatu acara secara maraton, yang biasanya ditayangkan pada masa nyata. Genre ini mendapat populariti pada tahun 2009 selepas Perbadanan Penyiaran Norway menyiarkan satu perjalanan kereta api selama tujuh jam. Ya, tujuh jam, di atas sebuah kereta api. Kedengaran… membosankan. Tetapi ia telah mendapat sambutan segolongan penonton kerana mereka mendapati perjalanan yang indah itu mempesonakan.
Konsep di sebalik TV perlahan adalah untuk menunjukkan bahawa kita boleh mempunyai penontonan yang lebih alami, tanpa mengikut alur yang cepat seperti dalam drama naratif. Tontonan ini dibina berdasarkan peralihan dan pergerakan setiap pemandangan dan bukannya menimbulkan ketegangan dalam plot. Ketika menonton TV perlahan, kita diingatkan untuk menikmati setiap minit dalam kehidupan, bukan hanya mengiranya.
Penyair Francis Thompson menulis tentang “kecepatan yang tidak terganggu.” Yang dimaksudkan Thompson ialah Tuhan bergerak secara sistematik, sabar, dengan langkah yang diukur dan dirancangkan. Bahkan kita melihat kelambatan ini dengan emosi Tuhan. Dalam Kitab Suci, seruan nabi Yoel kepada orang Yehuda untuk bertaubat didasarkan pada kenyataan bahawa Tuhan kita “lambat marah” (Yoel 2:13 ILT). Tidak seperti perbuatan kita yang dramatik, yang sering didorong oleh kemarahan dan kesombongan yang melampau, Tuhan mengambil pendekatan yang berbeza. Kemarahan-Nya datang secara perlahan-lahan. Bagi orang yang telah memberontak, Tuhan berfirman, “Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu, dan kembalilah kepada TUHAN, Allahmu” (ayat 13).
Kemarahan Tuhan tidak seperti kita. Dia lambat untuk marah, inilah realiti yang membolehkan kita kembali kepada-Nya dengan segenap hati kita.
