Anna dan suaminya tinggal di Argentina bersama dua orang anak mereka. Mereka hidup menyendiri dan fasih berbahasa Sepanyol. Tetapi mereka bukan rakyat Argentina. Mereka ialah ejen rahsia, perisik yang berasal dari negara lain. Mereka sangat pandai menyamar dan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, bahkan belajar cara memegang garpu mereka. Tetapi apabila terdapat perubahan dalam rekod rasmi kerajaan, pihak berkuasa mula mengesyaki mereka. Akhirnya pasangan itu ditangkap. Semasa keluarga itu dihantar pulang ke negara asal mereka, Anna memandang anak perempuannya yang berusia sebelas tahun. Bagaimanakah dia akan memberitahunya bahawa mereka bukanlah orang seperti yang disangkakan oleh anak perempuannya?
Orang yang percaya kepada Yesus mempunyai kewarganegaraan yang lebih penting. Kita ialah ejen raja yang agung, kerana “kewargaan kita adalah di syurga” (Filipi 3:20). Warga Filipi berbangga dengan kewarganegaraan Rom mereka; mereka mengikrar kesetiaan kepada pemerintah Rom apabila mereka tinggal di Filipi. Namun Paulus berkata bahawa mereka perlu memperluas kesetiaan. Kesetiaan tertinggi mereka sepatutnya kepada Yesus, Penguasa Agung yang memerintah Rom dan Filipi dari syurga.
Walaupun kita ialah orang asing di dunia ini, namun tidak seperti Anna dan suaminya, kita tidak menentang “tanah asing” kita secara rahsia. Kita berusaha secara terbuka untuk membawa manfaat kepada tanah itu. Kesetiaan kita kepada Yesus mendorong kita melayani orang lain di sekeliling kita dan berdoa untuk “semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat” (1 Timotius 2:2). Dengan pertolongan Tuhan, kita berdoa untuk kemakmuran dan kepentingan kota kita. Kita “berdoa kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraan [kita]” (Yeremia 29:7).
