Rakan saya Tomáš ialah orang Slovakia. Dia menceritakan dia pernah meluangkan masa yang sungguh berharga dengan seorang penasihat tua yang kerap mendengar kebimbangannya, Tomáš berkata, “Dia ialah ‘rongga pokok willow aku’.” Apabila dia melihat wajah saya yang kebingungan, Tomáš menjelaskan bahawa itulah ungkapan bahasa Slovakia yang bermaksud seseorang yang menyimpan rahsia. Maksudnya, orang itu ibarat pokok willow yang menyimpan hal-hal sulit dengan selamat di dalam batangnya.
Betapa berharganya jika kita mempunyai seseorang yang boleh mendengar ketakutan dan harapan terdalam kita. Mungkin disebabkan oleh pengalamannya sendiri, Raja Salomo menekankan kuasa kata-kata kita dalam kitab Amsal. Dia memuji individu yang menunjukkan kebijaksanaan atau boleh menjaga lidahnya (Amsal 11:12). Dia juga membandingkan dua jenis orang: “Orang yang membawa mulut ke sana ke mari membuka rahsia, tetapi orang yang amanah menjaga rahsia” (ayat 13). Perbandingan itu ialah peringatan yang berguna untuk menjaga perbualan peribadi dengan penuh tanggungjawab. Namun begitu, kita tidak seharusnya berdiam diri jika kita benar-benar bimbang akan keselamatan seseorang.
Dalam dunia digital, kita boleh menyebarkan maklumat dengan cepat, ia boleh menggoda (dan mudah) untuk berkongsi butiran menarik yang mungkin merangsangkan pelbagai reaksi. Namun mengumpat bukan sahaja menyakiti individu yang cukup mempercayai kita sehingga berkongsi perkara peribadi, tetapi juga merosakkan hubungan apabila kepercayaan itu dikhianati. Setiap kita patut berusaha menjadi seperti “rongga pokok willow”, orang yang berintegriti dan boleh dipercayai untuk menjaga rahsia.
