Mark ialah seorang pelari maraton dan seorang pastor yang berdedikasi. Dia melayani dua buah gereja selama tiga puluh lima tahun dan baru-baru ini bersara. Seseorang telah menghadiahi dia sepasang kasut larian yang baharu. Saya pernah berlari bersama Mark lebih dua puluh tahun yang lalu. Namun sepanjang hidupnya, dia telah menyertai perlumbaan sejauh 42.2 kilometer di pelbagai bandar di seluruh negara. Pada majlis persaraannya, anggota masyarakat dan jemaah gereja yang pernah dilayaninya turut menyatakan penghargaan atas kesetiaan Mark. Oleh sebab kuasa dan rahmat Tuhan, Mark telah menyelesaikan pelayanannya dengan baik.
Hidup ini seperti larian jarak jauh, bukan larian pendek. Kadangkala, kita berasa letih dan hampir ingin berputus asa. Namun, bagi orang yang percaya kepada Tuhan, rahmat dan kekuatan Tuhan sentiasa ada dan tidak pernah habis. Ketika rasul Paulus dipenjarakan dan menghampiri penghujung hidupnya (2 Timotius 4:6), dia menggalakkan anak didiknya Timotius, “Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman” (ayat 7). Perjalanan hidup membawa kita ke tempat dan keadaan yang berbeza-beza. Namun, tidak kira di mana kita berada dalam perjalanan hidup ini, kita perlu sentiasa ingat bahawa ketekunan yang berlandaskan iman adalah penting dan membawa ganjaran (ayat 8); Tuhan adalah sumber kekuatan kita (ayat 17); oleh rahmat-Nya, Dia “memelihara [kita] untuk kerajaan-Nya di syurga” (ayat 18).
