Pada bulan April 2019, satu kebakaran berlaku di Notre-Dame de Paris, katedral terkenal sejak zaman pertengahan di bandar Paris. Ia memusnahkan menara puncak dan sebahagian besar bumbung yang disokong oleh banyak balak kayu oak. Perancangan untuk membaikpulihnya segera dibuat. Sumbangan datang dari seluruh dunia, dan para tukang mula membaikpulih dengan menggunakan teknik binaan serta jenis kayu dan batu yang sama pada binaan asal.
Begitu juga pada tahun 586 SM, Raja Nebukadnezar mengarahkan tenteranya membakar bait suci Tuhan sebagai sebahagian rancangan untuk mengepung Yerusalem, sehingga bangunan itu musnah sama sekali (2 Raja-Raja 25:9). Namun, apabila orang buangan kembali ke Yerusalem selepas berdekad-dekad ditawan di Babel, mereka “memberikan persembahan sukarela untuk membina Rumah Allah di tempatnya semula” (Ezra 2:68).
Selepas membina mazbah terlebih dahulu, mereka “memberikan wang kepada tukang batu dan tukang kayu” serta mendapatkan “kayu araz dari Lebanon ke laut dekat Yope” untuk membina asas Bait Suci (Ezra 3:7). Walaupun usaha pembinaan semula tersebut ditentang dan cuba digagalkan, tugas itu akhirnya selesai, dan umat Tuhan sekali lagi menyembah-Nya di Bait Suci-Nya (Ezra 6:14-22).
Sebagai pengikut Yesus, kita adalah “bait Allah” (1 Korintus 3:16-17). Tuhan memperlengkap kita untuk terus-menerus memulihkan sesama orang percaya dan “saling meneguhkan,” bukan dengan kayu atau batu, tetapi dengan kata-kata dorongan, doa, dan kurnia rohani (1 Tesalonika 5:11).
