Selepas moyang Clara meninggal dunia, senarai doanya yang sepanjang 300cm untuk orang yang sentiasa didoakannya menjadi pusaka keluarga. Senarai nama yang ditaip itu bukan sahaja mengandungi banyak nama ahli keluarga, kawan, dan individu yang didoakan oleh kawan-kawannya, tetapi juga nama penginjil, pastor, dan pelayanan yang berprofil tinggi. Ahli keluarga baharu dan permohonan doa yang khusus pula ditulis tangan di bahagian tepi. Saya menjadi sebak apabila melihat nama ibu saya wujud dalam senarai doa itu, yang ditambah ketika ibu masih kanak-kanak lagi.

Rasul Paulus menulis kepada jemaah awal, “Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa” (Roma 12:12). Dalam suratnya, Paulus menasihati orang percaya supaya selalu memperlihatkan kasih dalam tindakan mereka—membenci kejahatan dan berpegang kepada kebaikan (ayat 9), saling menghormati dan mengutamakan orang lain (ayat 10), melayani Tuhan dengan penuh semangat (ayat 11), dan mengamalkan keramah-tamahan (ayat 13). Semua perbuatan baik ini akan sia-sia tanpa kasih Kristus yang bekerja dalam kita. Itulah sebabnya kita harus setia berdoa. Paulus menyeru rakan-rakannya supaya “berdoa bersungguh-sungguh bersama[nya] kepada Allah bagi diri[nya]” (15:30). Paulus juga membuat senarai doa yang khusus—supaya dia dilindungi daripada penganiayaan orang yang tidak beriman dan disambut baik di Yerusalem (ayat 31-32). Mungkin permohonan doa itu juga termasuk dalam senarai doa peribadi seseorang moyang di Roma.

Doa memampukan kita menjalani kehidupan yang dapat “[menewaskan] kejahatan dengan kebaikan” (12:21). Walaupun kita mungkin tidak selalu melihat hasilnya, doa mencipta satu warisan yang setia daripada satu generasi kepada generasi yang lain.