J.D. menyaksikan pemandangan yang menakjubkan dalam perjalanannya ke beberapa buah negara Afrika. Mesej yang dihantarnya kepada kami dari Zambia Timur turut disertakan dengan beberapa keping gambar, yang menunjukkan segolongan wanita yang penuh iman sedang membentangkan pelan pelayanan Injil mereka selama tiga tahun. “Ini merupakan salah satu pembentangan pelan strategik paling berkuasa yang pernah saya dengar sepanjang hidup saya. Mereka tidak menggunakan papan putih, tetapi melukis di atas tanah. Mereka tidak mengedarkan salinan kertas yang cantik tentang apa yang akan dilakukan, tetapi mereka mempamerkan pelan mereka pada sekeping kertas bersaiz poster yang ronyok, yang dipegang oleh dua orang. Sungguh luar biasa!”
Golongan wanita ini sedang memperlihatkan jenis iman yang diingini oleh Yesus. Matius 15:21-28 mencatat satu lagi contoh. Seorang wanita terdorong datang mencari Yesus kerana anak perempuannya. “Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita” (ayat 22). Imannya yang teguh (ayat 28) terhadap Yesus berbeza sama sekali daripada para pemimpin orang Yahudi yang hati mereka jauh daripada Tuhan (ayat 8). Walaupun Kristus mengakui bahawa bangsa Israel tergolong sebagai keturunan Abraham, pujian-Nya diberikan kepada seorang wanita bukan Yahudi yang memiliki iman seperti iman Abraham.
Apakah yang mendorong anda untuk mengalihkan pandangan kepada Yesus pada hari ini? Keperluan peribadi, keluarga atau komuniti? Apa-apa pun yang mendorong anda untuk datang kepada Yesus, datanglah—walaupun anda berasa lemah dan tidak berdaya. Datanglah kepada-Nya kerana yang penting bukanlah sebesar mana iman anda. Yang penting ialah kepada siapa iman anda tertuju: Yesus dan Yesus sahaja.
dalam iman kepada-Mu.
ILHAM
Pertemuan dengan wanita Kanaan sering membingungkan pelajar Alkitab kerana cara Yesus menanganinya kelihatan tidak seperti sifat-Nya yang biasanya penuh belas kasihan. Mengapakah Dia begitu keras terhadap wanita yang sedang menderita ini? Mungkin interaksi-Nya tentang anak perempuan wanita itu yang dirasuk oleh roh jahat adalah lebih ditujukan untuk manfaat para pengikut-Nya, agar mereka menyedari kekerasan hati mereka sendiri ketika mereka berulang kali mendesak Kristus untuk menyuruh wanita itu pergi (Matius 15:23). Dengan bercakap dengan dia di hadapan para pengikut-Nya, Yesus memberi mereka contoh istimewa tentang “teguh iman” (ayat 28) terlihat, ketika Dia menyembuhkan anak perempuan wanita bukan Yahudi itu kerana imannya kepada-Nya. Peristiwa ini berlaku selepas perdebatan antara Kristus dan guru-guru Taurat yang menurut-Nya menjalankan ibadah secara lahiriah sahaja tanpa hati yang benar-benar taat kepada Tuhan (ayat 1-14). Hari ini, apabila kita memfokuskan hati kepada Yesus, iaitu sumber iman kita, kita boleh menyerahkansemua kebimbangan kita kepada-Nya.
