Selain menghadiri upacara rasmi dan menandatangani beberapa arahan eksekutif selepas mengangkat sumpah jawatan, para presiden baharu Amerika Syarikat berhadapan dengan satu realiti yang tidak dapat dinafikan: Mereka mula merancang upacara pengebumian mereka sendiri. Dengan cara itu, negara akan bersedia untuk memperingati hidup mereka apabila mereka meninggal dunia. George H. W. Bush ditanya sama ada terasa “pelik” untuk merancang upacara peringatan sendiri. Dia menjawab, “Anda akan terbiasa dengannya.” Sejarawan akan menulis tentang legasi mereka, tetapi para presiden harus merancang perkhidmatan mereka untuk negara secara peribadi dan tradisional, serta bagaimana mereka ingin dikenang.
Kematian ialah satu realiti yang serius dan harus dihadapi oleh setiap kita. Raja Salomo, yang mencari makna hidup dalam keseronokan, pekerjaan, dan pengetahuan namun gagal menemukannya, berkata, “Pergi ke rumah orang berkabung lebih baik daripada pergi ke rumah orang berpesta” (Pengkhutbah 7:2). Keadaan yang sukar memberikan perspektif yang lebih mendalam berbanding saat-saat gembira. Apabila kita berhadapan dengan realiti kematian, kita dapat membuat persiapan yang lebih baik untuk apa yang akan datang selepasnya. Ayat kedua menambah, “Setiap orang pasti akan mati dan ada baiknya jika orang memikirkan hal itu sementara ia hidup”(7:2 FAYH). Kita harus merenungkannya dan bersedia menghadapinya.
Persiapan itu datang dengan menerima pengampunan dosa daripada Yesus, yang telah mati bagi kita dan bangkit semula. Setiap orang akan mati kerana kematian datang apabila manusia pertama, iaitu Adam, mengingkari Tuhan, dan kita telah mengikut jejak langkahnya. Bagaimanapun, “demikian juga dalam Kristus semua manusia akan dihidupkan semula” (1 Korintus 15:22).
