Selepas moyang Clara meninggal dunia, senarai doanya yang sepanjang 300cm untuk orang yang sentiasa didoakannya menjadi pusaka keluarga. Senarai nama yang ditaip itu bukan sahaja mengandungi banyak nama ahli keluarga, kawan, dan individu yang didoakan oleh kawan-kawannya, tetapi juga nama penginjil, pastor, dan pelayanan yang berprofil tinggi. Ahli keluarga baharu dan permohonan doa yang khusus pula ditulis tangan di bahagian tepi. Saya menjadi sebak apabila melihat nama ibu saya wujud dalam senarai doa itu, yang ditambah ketika ibu masih kanak-kanak lagi.
Rasul Paulus menulis kepada jemaah awal, “Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa” (Roma 12:12). Dalam suratnya, Paulus menasihati orang percaya supaya selalu memperlihatkan kasih dalam tindakan mereka—membenci kejahatan dan berpegang kepada kebaikan (ayat 9), saling menghormati dan mengutamakan orang lain (ayat 10), melayani Tuhan dengan penuh semangat (ayat 11), dan mengamalkan keramah-tamahan (ayat 13). Semua perbuatan baik ini akan sia-sia tanpa kasih Kristus yang bekerja dalam kita. Itulah sebabnya kita harus setia berdoa. Paulus menyeru rakan-rakannya supaya “berdoa bersungguh-sungguh bersama[nya] kepada Allah bagi diri[nya]” (15:30). Paulus juga membuat senarai doa yang khusus—supaya dia dilindungi daripada penganiayaan orang yang tidak beriman dan disambut baik di Yerusalem (ayat 31-32). Mungkin permohonan doa itu juga termasuk dalam senarai doa peribadi seseorang moyang di Roma.
Doa memampukan kita menjalani kehidupan yang dapat “[menewaskan] kejahatan dengan kebaikan” (12:21). Walaupun kita mungkin tidak selalu melihat hasilnya, doa mencipta satu warisan yang setia daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
ILHAM
Roma 12:9-21 menunjukkan bahawa kasih seharusnya menjadi asas hidup bagi orang yang percaya kepada Yesus. Petikan ini mempunyai persamaan yang jelasdengan nasihat panjang Paulus kepada jemaah di Korintus
tentang keutamaan kasih (1 Korintus 13).
Dalam kitab Roma, kita melihat bahawa kasih dapat mengalahkan kejahatan apabila kita mengamalkan hidup yang setia melayani orang lain (ayat 21). Sesuai dengan kata-kata Kristus dalam Khutbah-Nya Di Atas Bukit (lihat Matius 5-7), rasul Paulus menasihati orang percaya di Roma agar mengamalkan kerendahan hati, sifat lemah lembut, dan kesetiaan (Roma 12:10-16). Bagi mereka dan bagi kita hari ini, hidup yang dipenuhi kasih mampu menaklukkan kejahatan di dunia dan memuliakan Kristus, yang tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi telah terlebih dahulu mengasihi mereka yang membenci-Nya. Apabila kita “terus-menerus berdoa” (12:12), Roh Kudus akan menolong kita untuk mengasihi orang lain dan mewariskan teladan kesetiaan.
