Nafi dan Kamran telah menyertai satu kudeta tentera yang cuba merampas kuasa negara. Mereka berlawan bertahun-tahun lamanya dan apabila pihak mereka menang, mereka diberi pekerjaan dalam pejabat di ibu negara. Namun, keadaan tidak menjadi lebih baik. Mereka hanya ada sedikit kerja, jadi mereka menjadi ketagih internet. Nafi berkata bahawa ramai rakan seperjuangannya, “termasuk saya, ketagihan internet, terutamanya Twitter.” Kamran pula menambah, “Ujian dan cabaran sebenar bukanlah semasa perang, tetapi sekarang. Ketika perang, semuanya mudah, tetapi sekarang keadaan jauh lebih rumit.” Sambil menyebut pelbagai godaan yang ditemukannya di laman web, dia berkata, “Ramai orang … terjerat dalam perangkap yang kelihatan manis, tetapi sebenarnya pahit.”

Kamran memang betul bahawa kita paling mudah tergoda ketika berada dalam keadaan selesa, seperti yang dialaminya selepas perang. Dalam Alkitab, kita menemukan peringatan yang serupa dalam kisah perzinaan Daud dengan Batsyeba. Semuanya bermula apabila Daud mengutus orang lain untuk berperang tetapi dia sendiri tinggal di ibu kota. Seperti seorang yang tidak berdisiplin sedang melayari internet, Daud “bangun dari tempat tidurnya lalu berjalan-jalan di atas bumbung istana raja” (2 Samuel 11:2). Dia menempatkan dirinya dalam bahaya. Dan apabila “terlihat seorang perempuan yang sedang mandi,” dia tidak berpaling daripadanya (ayat 2-3).

Kita dapat mengelakkan rasa kecewa selepas peperangan dengan mengingati bahawa kita sebenarnya masih “berperang”. “Sebabnya kita berlawan bukan dengan darah dan daging, tetapi dengan … tentera roh iblis di udara.” Oleh itu, dengan pertolongan Tuhan, kita perlu memakai “selengkap senjata Allah” dan bersedia untuk “berdiri tegap” (Efesus 6:12-13).