Pada awal tahun 1900-an, ahli perniagaan keluli yang berjaya, Charles Schwab memutuskan untuk membina sebuah rumah agam yang paling mewah di Bandar Raya New York. Pembinaan yang disiapkan pada tahun 1906 ini terletak di Riverside Drive, yang mengambil inspirasi daripada istana-istana Perancis dan meliputi satu blok bandar penuh, dengan taman-taman yang indah, beberapa dewan besar, dan hiasan dalaman yang sangat mewah. Rumah itu sangat berbeza dengan bangunan-bangunan apartmen yang semakin banyak dibina dan kemudian menjadi ciri utama bandar Manhattan. Walaupun begitu megah, estet tersebut sukar mendapat pembeli selepas kematian Schwab. Rumah agam itu terlalu besar, mahal, dan tidak lagi sesuai dengan trend hartanah pada waktu itu. Akhirnya bangunan di Riverside Drive itu dirobohkan pada tahun 1948. Lama-kelamaan, kedua-dua rumah agam itu dan pemiliknya semakin dilupakan.

Semua orang tahu bahawa segala perkara di bumi ini seperti kekayaan, cita-cita dan rumah-rumah agam pasti akan lenyap. Yesaya 40 mengingatkan kita, “Semua manusia umpama rumput dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang” (ayat 6). Yesaya menulis kepada bangsa Israel yang sedang menghadapi disiplin Tuhan atas ketidaksetiaan mereka. Setelah Dia menghukum mereka, Tuhan menghiburkan mereka (ayat 1-2). Apa yang dikatakan nabi Yesaya tentang manusia, rumput dan bunga memang benar (ayat 6-7). Tetapi bagaimanakah dengan kebenaran tentang Tuhan sendiri? Ia akan kekal lebih lama daripada manusia, rumah agam, kekayaan, cita-cita dan pujian. Ya, “firman Allah kita kekal selama-lamanya” (ayat 8).

Baiknya untuk kita sentiasa ingat betapa rapuhnya diri kita. Alangkah bijaksana untuk mengingati firman Tuhan itu kekal selama-lamanya.