Sebaik sahaja saya terjun ke dalam kolam, gogal saya dipenuhi air dan saya hampir tidak dapat melihat apa-apa. Walaupun tidak menerima latihan renang secara formal, saya berikhtiar perlahan-lahan untuk menghabiskan dua pusingan dalam lumba renang yang saya sertai secara spontan. Bertahun-tahun kemudian, selepas mengikuti kelas untuk mempelajari teknik pernafasan dan teknik renang yang betul, saya seronok mempelajari keempat-empat kuak renang dalam pertandingan.
Alangkah berbezanya apabila kita mempunyai latihan yang betul. Begitu juga ketika kita membaca Alkitab. Apabila kita memahami konteks dan maksud apa yang kita baca, kita dapat mengaplikasikannya dengan betul dalam hidup kita.
Paulus mahu Timotius berdiri teguh dalam imannya, menjauhi pertengkaran, dan tidak diperdaya oleh guru palsu. Dalam surat terakhirnya, rasul itu menggesa Timotius untuk mempelajari Alkitab: “Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya” (2 Timotius 2:15).
Setelah mempelajari dan mempraktikkan teknik renang yang betul, saya menjadi seorang perenang yang lebih baik. Demikian jugalah dalam perjalanan rohani kita. Apabila kita belajar dan memahami perkataan serta konsep dalam Alkitab, kita makin hari makin mengenal Tuhan—membolehkan kita membezakan kebenaran daripada kepalsuan dan memperoleh hikmat. Ketika kita membaca Alkitab, marilah kita terus bertumbuh supaya kita “akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik” (3:17).
firman-Mu.
ILHAM
Dalam 2 Timotius 3:16-17, kita menemukan sumber dan tujuan Alkitab: “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.” Firman dari Alkitab telah diwahyukan oleh Tuhan, menyatakan siapa Dia kepada kita, supaya kita dilengkapi dengan sempurna untuk melayani Dia. Apabila kita semakin mengenal siapa Dia, kita terdorong untuk mengasihi dan melayani-Nya dengan sepenuh hati kita. Kebenaran ini ditegaskan lagi oleh Petrus: “Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.” (2 Petrus 3:18).Apabila kita merenungkan Alkitab, Tuhan akan menolong kita memahami kebenarannya dan bertumbuh dalam pengenalan akan Dia.
