Saya membuka aplikasi perbankan dalam talian dan mendapati ada dua pengeluaran yang melebihi $500, yang saya tidak lakukan. Dalam keadaan cemas, saya menghubungi pihak bank dan mendapati identiti saya telah dicuri. Dengan bantuan pihak bank, saya berjaya memulihkan akaun bank, tetapi pengalaman itu telah mengajar saya lebih berwaspada untuk mencegah kecurian seperti itu pada masa hadapan.

Dalam Yohanes 10:10, Yesus memberi amaran bahawa “pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan.” Dengan menegur para pemimpin agama yang menentang-Nya kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat (9:13-15), Yesus mendedahkan motif mereka: untuk mencuri, membunuh, dan membinasakan. Musuh rohani kita, Iblis, merancang untuk mencuri pemahaman kita tentang rahmat Tuhan—dan kebebasan yang diberikan kepada kita melalui kematian Yesus. Pengharapan dan pertolongan dinyatakan lebih awal dalam ayat yang Yesus menggambarkan diri-Nya sebagai Gembala yang Baik, yang memanggil nama setiap domba-Nya (10:2-4). “Kawanan domba itu … akan lari daripada [pencuri], kerana tidak mengenal suaranya.” (ayat 5).

Kadangkala kita mendapati diri kita menjadi mangsa kejahatan di dunia ini. Namun, Tuhan kita yang penuh kasih mengajak kita untuk mempraktikkan kebijaksanaan rohani, yang kita dapat belajar untuk mengenali dan menghindari suara musuh yang ingin mencuri, membunuh, dan membinasakan. Apabila kita menumpukan telinga kita kepada suara Gembala yang Baik, kita boleh mempercayai-Nya untuk memimpin kita kepada hidup yang “berlimpah-limpah” (ayat 10).