Ketika Douglas Kent, seorang arkitek landskap, meninjau sebuah kawasan yang telah hangus terbakar selepas kebakaran besar melanda di bandar Los Angeles pada tahun 2025, dia terkejut melihat sesuatu yang luar biasa. Walaupun kereta telah cair dan bangunan telah terbakar, masih ada pokok-pokok yang hidup dan menghijau. Banyak daripadanya mempunyai pelepah dan daun yang subur, buah yang banyak, serta batang dan dahan yang kuat. Bagaimanakah ini boleh berlaku?
Selepas dua musim sejuk berhujan yang berturut-turut, akar-akar pokok itu telah menjalar jauh ke dalam tanah untuk menyerap kelembapan, yang menyalurkannya ke dahan dan daun. Ketika kebakaran berlaku, pokok-pokok itu terbukti tahan. Kent berkata, “Apa yang saya lihat adalah jika kita berakar umbi, kita akan hidup.”
Keimanan kita ketika ujian hidup yang mencabar juga boleh menjadi seperti itu. Apabila kerohanian kita berakar di dalam Kristus dan kasih-Nya, kita menjadi “seperti pokok yang ditanam di tepi air, yang merambat akar-akarnya ke tepi sungai. Dia tidak takut ketika panas datang, daun-daunnya tetap hijau. Dia tidak khuatir pada tahun kemarau, dan tidak akan berhenti menghasilkan buah” (Yeremia 17:8).
Yeremia yang bercakap terus terang memberi amaran ini, “Terkutuklah orang yang bergantung pada manusia” (ayat 5). “Dia akan menjadi seperti semak di gurun. Ketika hal yang baik datang, dia tidak melihatnya. Dia akan mendiami tempat-tempat yang gersang di gurun, di padang garam yang tidak dihuni” (ayat 6). Jika kita percaya kepada Tuhan, seperti pokok yang cukup air, kasih Tuhan memberi kita kekuatan dan menjaga kita supaya tidak lemah. Kita boleh terus bertahan walaupun hidup sukar, menghasilkan buah rohani kerana hidup kita dekat dengan Tuhan.
