Pastinya menarik jika kita dapat melihat jantung sendiri. Baru-baru ini, saya mengalami sakit dada. Jadi saya pergi berjumpa doktor untuk diperiksa. Doktor kemudian membuat beberapa ujian perubatan dan mendapati bahawa terdapat lebihan kalsium terkumpul dalam saluran darah jantung saya yang dikenali sebagai aterosklerosis (penyempitan saluran darah).
Sejak itu saya telah membuat perubahan besar dalam pemakanan dan senaman. Namun saya juga sedar bahawa masalah jantung saya tidak berlaku dalam sekelip mata. Dalam kes saya, ia merupakan hasil daripada pilihan hidup yang tidak sihat sebelum ini. Lama-kelamaan, tabiat-tabiat tersebut telah menjejaskan kesihatan jantung saya.
Alkitab menggunakan bahasa yang serupa untuk menggambarkan keadaan rohani yang tidak sihat. Hati kita boleh beransur-ansur menjadi keras terhadap Tuhan—satu hari dan satu pilihan pada satu masa. Ibrani 3:7-8 (rujuk kepada Mazmur 95:7-8) berkata, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.” Selepas Tuhan membebaskan umat-Nya dari Mesir, mereka “menguji dan menduga” Dia (ayat 9) semasa berada di gurun.
Tuhan telah setia memelihara umat-Nya, tetapi mereka enggan mengakuinya (ayat 9-10). Bagaimanakah pula dengan kita? Apakah tabiat harian kita yang membuat kita menjauh dari Tuhan, sehingga hati kita menjadi keras terhadap-Nya? Setiap kita pernah membuat pilihan seperti itu. Oleh itu, saya bersyukur pada hari ini, saat ini, Tuhan menawarkan untuk menukar hati kita yang keras dengan hati yang dilembutkan oleh kasih-Nya (lihat Yehezkiel 36:26).
Ampunilah aku kerana membuat pilihan yang salah. Tolonglah aku sudi membiarkan Engkau membersihkan dan melembutkan hatiku yang keras.
ILHAM
Ibrani 3:7-15 mengingatkan kita bahawa prinsip-prinsip daripada Perjanjian Lama tetap relevan untuk kehidupan kita hari ini (ayat 7, 13) dan peristirahatan (ayat 11) daripada petikan-petikan utama Perjanjian Lama. Misalnya, perkataan hari ini dalam Mazmur 95:7 menggambarkan momen perjalanan bangsa Israel di padang gurun ketika mereka mengekalkan hati yang keras dan gagal percaya—tema ini diteruskan dalam Ibrani 4. Satu generasi kehilangan peluang untuk menikmati istirahat yang dijanjikan di Tanah Perjanjian, yang disediakan bagi mereka yang percaya kepada firman Tuhan. Penulis kitab Ibrani membandingkan peristirahatan ini dengan hari ketujuh penciptaan, yang mengajak kita untuk menikmati istirahat di dalam Tuhan (Ibrani 4:4-6). Percaya sepenuhnya pada karya-Nya, bukan pada usaha sendiri, ialah makna sebenar “peristirahatan Sabat” bagi kita (Ibrani 4:9).Hari ini, kita boleh memohon Tuhan untuk melembutkan hati kita yang degil dan beristirahat di dalam kasih-Nya.
Tim Laniak
