Seperti semua lelaki warga Singapura, saya perlu berkhidmat dalam angkatan tentera negara apabila berusia lapan belas tahun. Sejujurnya, saya menjalani pengerahan itu selama dua tahun setengah dengan berat hati. Seperti ramai pemuda yang lain, saya cuba lakukan sekadar minimum, mematuhi arahan tepat seperti yang diberi—tidak lebih dan tidak kurang.
Namun, ada sesetengah orang memberikan diri sepenuhnya dalam tugas mereka dan akhirnya memperoleh banyak manfaat daripada pengalaman tersebut, seperti mempelajari tentang kepimpinan dan ketabahan. Apabila saya merenung kembali, saya sedar bahawa usaha dan sikap positif seperti ini akan menyenangkan hati Tuhan—seperti yang ditunjukkan oleh Yusuf dalam Alkitab.
Walaupun dijual sebagai hamba dan kemudian dipenjarakan, Yusuf melaksanakan semua tanggungjawab yang diberikan kepadanya dengan penuh dedikasi. Daripada merungut tentang keadaannya, dia memandang serius peranannya, sehinggakan “Potifar menyerahkan segala harta bendanya untuk ditadbir urus oleh Yusuf” (Kejadian 39:6). Yusuf juga kemudian diberi tanggungjawab untuk mengurus penjara—dan akhirnya, seluruh Mesir.
Berabad-abad kemudian, rasul Paulus juga menggesa orang-orang yang percaya kepada Yesus: “Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus” (Kolose 3:17). Walaupun keadaan kita mungkin jauh daripada kesempurnaan, semoga Tuhan menolong kita untuk setia dalam setiap tugasan yang diberikan kepada kita, kerana kita bekerja untuk Dia—yang melihat hati kita yang sebenar.
