Ethel dan Ed tinggal di kawasan gurun tinggi di Pergunungan Rocky, Amerika Syarikat. Semasa saya sekeluarga melawat mereka di ladangnya yang dipenuhi kenangan lama, mereka mula menceritakan zaman kanak-kanak ketika mereka menunggang kuda di padang rumput Dakota Utara dan menggembala lembu di Montana. Mereka kini sudah berumur, dan saya dapat mendengar daripada nada suara bahawa mereka rindu akan kampung halaman.

Mazmur 137 menggambarkan perasaan yang serupa. Orang Israel telah dipaksa menjadi tawanan dan rindu akan tanah air mereka. “Di tebing sungai-sungai Babel, di sanalah kami duduk dan menangis,” kata mereka. “Di sana mereka meminta kami menyanyi” (ayat 1,3), menyebabkan orang Israel bertanya, “Betapa mungkin kami nyanyikan lagu TUHAN di tanah asing?” (ayat 4).

Kerinduan untuk kembali daripada pembuangan merupakan tema yang biasa muncul dalam Kitab nabi-nabi Perjanjian Lama. Akhirnya bangsa Israel telah kembali. Mereka membina semula Yerusalem dan menetap semula di tanah itu, tetapi ia tidak lagi sama. Apabila Bait Suci dibina semula, ramai yang pernah melihat bait terdahulu menangis kerana kemuliaannya jauh berbeza daripada yang pertama (Ezra 3:12).

Usia tua mungkin membuatkan kita berasa seolah-olah semakin “jauh” daripada diri kita yang terdahulu, memandangkan masa telah memberi kesan kepada minda dan tubuh kita sehingga kita tidak sekuat seperti dahulu. Namun bagi mereka yang mengenal Yesus, kerinduan kita bukannya pada masa lalu, tetapi masa depan. Di situlah perbualan saya dengan Ethel dan Ed telah berubah—kita sama-sama rindu akan rumah kita di syurga pada masa depan, yang segalanya dibuat dengan baik dan jauh lebih baik daripada apa yang kita dapat bayangkan.