Saya pernah bekerja dengan seorang wanita yang bernama Madge, seorang tukang masak yang hebat. “Kamu mesti cuba rasa sup kacang dan ham masakan saya!” katanya pada suatu hari. Selepas menjawabnya bahawa saya sebenarnya tidak suka kacang, Madge tersenyum dan berkata, “Kamu pasti akan suka selepas kamu mencubanya.” Keesokan harinya, dia menghulurkan satu bekas yang diisi sup―khas untuk saya.

“Sudah cuba rasa sup tu?” tanya Madge selepas beberapa hari. “Nanti—tak lama lagi!” jawab saya, berharap dia tidak akan bertanya lagi. Namun, dia bertanya lagi—keesokan hari, dan hari selepasnya. “Jangan biarkan terlalu lama, nanti basi,” tambahnya pada hari keempat.

Seminggu kemudian, sup Madge yang tidak diminum itu telah basi, lalu saya membuangnya. Saya berasa gementar ketika dia menghampiri saya. “Kamu sudah cuba rasa sup tu kan?” tanyanya.

“Ya,” jawab saya. “Rasanya … sedap.”

Dalam Efesus 4, Paulus mengajak kita untuk menangani dosa-dosa yang berkaitan dengan percakapan seperti kata-kata marah (ayat 26), kata-kata kesat (ayat 29), dan umpatan (ayat 31). Tetapi sebelum itu, seruan yang lebih asas bagi kita adalah, “bercakap benar sesama manusia” (ayat 25). Saya telah berbohong kepada Madge. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan.

Saya masuk ke pejabat Madge, mengakui pembohongan saya, dan dengan rasa malu meminta maaf. Madge mendekati dan memeluk saya. “Sudah tentu saya memaafkan kamu,” katanya. “Bagaimana mungkin saya tidak memaafkan, sedangkan saya tahu betapa besar pengampunan yang diberikan oleh Tuhan kepada saya?”