“Aku lebih mengenali diri kamu daripada kamu sendiri!” Sewaktu muda, saya pernah mendengar kenyataan penuh yakin itu daripada seorang rakan. Niatnya baik, tetapi sebagai seorang anak mubaligh yang diambil sebagai anak angkat, kehidupan saya adalah rumit kerana telah dibentuk merentasi empat buah benua dan pelbagai budaya. Dia sebenarnya tidak mengenali saya.

Zofar, salah seorang rakan Ayub, kedengaran bijak dalam penilaiannya terhadap kesukaran yang dialami oleh Ayub. “Dapatkah engkau memahami rahsia Allah?” … Zofar bertanya kepadanya (Ayub 11:7). “Tingginya melebihi langit” (ayat 8). Siapakah yang boleh membantah hal itu? Namun, Zofar kemudian berani berbicara tentang sesuatu yang tidak mungkin diketahuinya: bisik hati Ayub. Tanpa bukti, dia menyatakan, “Jika engkau menjauhkan kejahatan yang ada di tanganmu, dan tidak membiarkan kezaliman berdiam di dalam khemahmu, maka … engkau akan menjadi teguh dan tidak takut” (ayat 14-15).

Ayub membalas dengan nada menyindir: “Hikmah akan mati bersama-samamu! Aku juga berakal seperti kamu, aku tidak kurang daripada kamu. Siapa tidak tahu akan hal-hal semacam itu?” (Ayub 12:2-3). Realiti hidup Ayub begitu rumit sehingga dia sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku (rujuk Ayub 1̶2). Dia berkata, “Pada Allah sahaja terdapat hikmah dan keperkasaan” (12:13). Ia bukannya datang daripada Zofar, yang menganggap dirinya mempunyai autoriti dan wawasan yang sebenarnya bukan miliknya.

Rakan-rakan kita mungkin memerlukan nasihat kita yang penuh kasih dari semasa ke semasa. Namun biasanya, rakan-rakan yang sedang menghadapi krisis lebih memerlukan kita membawa nama mereka dalam doa dan menyerahkan mereka kepada Tuhan yang benar-benar mengenali mereka.