Jika anda ingin membuat Jarrett tersenyum, tanyalah tentang lebahnya. Dia seorang penternak lebah. Walaupun pertemuan kami di halaman belakang rumahnya bukan tentang lebah, pelajaran tentang pemeliharaan dan pembiakan lebah sering menjadi bahagian menarik dalam perbualan kami. Tetapi yang lebih istimewa daripada “perbualan bzzz” ialah kesegaran semula jadi dan rasa manis madu keemasan yang dihasilkan oleh lebah-lebah Jarrett yang rajin bekerja. Ah, sungguh sedap!
Dalam Mazmur 119:103, pemazmur berseru, “Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku!” Jika kita memerhati dengan lebih teliti tentang ayat 97-104, perbandingan “lebih manis daripada madu” hanyalah salah satu daripada ungkapan yang digunakan oleh penulis untuk menunjukkan betapa berharganya firman Tuhan. Dia berkata, “Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu” (ayat 98-100). Kesimpulannya, apabila kita menerima dan mengikuti dengan sepenuh hati apa yang dinyatakan oleh firman Tuhan dalam Alkitab, itu akan menolong kita hidup dengan baik di dunia ini.
Dengan cara yang sama, apabila pengikut Kristus sendiri mengalami dan menghargai Yesus, iaitu Firman yang hidup (rujuk Yohanes 1:1-14), mereka akan dikuatkan oleh Roh Kudus sehingga mereka dapat hidup dengan cara yang memuliakan Tuhan dan melakukan kehendak-Nya.
