Selepas Lam Wai Chan berpindah dari tanah airnya, Singapura, untuk menjadi pendeta sebuah gereja di Jepun, dia berasa panik. Gereja itu hanya mempunyai kira-kira dua puluh orang anggota. Di sebuah negara yang dikenali sebagai “kuburan mubaligh ,” yang hanya kira-kira satu peratus penduduk beragama Kristian dan banyak gereja kosong, Lam merasakan “seolah-olah aku mengambil alih sebuah kapal yang sedang tenggelam.” Ketika berseru kepada Tuhan, dia merasakan jawapannya: Serahkanlah gereja itu kembali kepada-Ku.

Daripada “mengemas kini” ibadah gereja dan muzik, Wai Chan mengajak ahli-ahli gereja mendoakan keperluan mereka sendiri, keluarga, dan rakan-rakan yang belum mengenal Yesus. Lama-kelamaan, bilangan ahli gereja itu bertambah dan berkembang dengan pesat.

Doa mereka yang setia merupakan contoh alkitabiah tentang bagaimana kita dapat membina sebuah komuniti dalam Yesus. Langkah pertama ialah berdoa. Rasul Paulus menulis: “Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah,” dan lakukan semua ini tanpa bimbang apa-apa (Filipi 4:6). Dengan berdoa, kita menyerahkan kembali pelayanan, gereja, dan setiap program kepada Tuhan. Kita mungkin menabur benih dan menyiramnya, tetapi seperti yang dikatakan oleh Paulus, “Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh” (1 Korintus 3:7). Oleh itu, Paulus menasihati orang percaya di Korintus supaya berhenti bertengkar tentang pemimpin gereja yang diikuti mereka (ayat 3-6).

Seperti yang dikatakan oleh Paulus, “Tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Yesus Kristus” (ayat 11). Marilah kita dengan penuh doa menyerahkan kembali gereja kita kepada-Nya. Kemudian, saksikan pertumbuhannya.