Hari itu merupakan hari lahir yang kesebelas bagi cucu lelaki saya, dan sekumpulan ahli keluarga telah berkumpul di sebuah restoran Mediterranean untuk meraikannya. Sebelum membuat pesanan makanan, anak lelaki saya bertanya kepada anak lelakinya apa yang dia mahu makan. Dengan berat hati, dia memberitahu ayahnya bahawa dia mahu makan ikan salmon, tetapi dia tahu harganya mahal. Anak lelaki saya berkata kepada anaknya, “Hari ini ialah ulang tahun kamu. Jika itu yang kamu mahu, kamu boleh memesannya.” Cucu saya sangat gembira, senyumannya yang lebar jelas memperlihatkan kegembiraannya.

Kasih anak saya terhadap anaknya mengingatkan saya, akan kasih Tuhan yang melimpah. Dalam 1 Yohanes 3, Tuhan telah mencurahkan “kasih yang besar” kepada kita: Dia memanggil semua yang percaya kepada-Nya sebagai anak-anak-Nya (ayat 1), penerima kasih-Nya yang melimpah. Kasih ini dinyatakan melalui pengorbanan Kristus, anugerah yang teragung. Yesus “telah menyerahkan nyawa-Nya bagi kita” di kayu salib (ayat 16). “Kita diselamatkan oleh kasih kurnia melalui iman” di dalam Kristus (Efesus 2:8). Inilah anugerah Tuhan yang dikurniakan kepada setiap orang yang percaya.

Sebagai respons terhadap kasih Tuhan yang melimpah, marilah kita juga “menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita” (1 Yohanes 3:16). Kita dipanggil untuk menghidupi iman kita melalui perbuatan: mengasihi dan mentaati-Nya serta menyebarkan kasih itu kepada orang lain. Melalui Roh Kudus, Tuhan memampukan kita memberikan kasih yang melimpah kepada keluarga kita dan orang di sekeliling kita.