Ahli zoologi menggambarkan satu tingkah laku yang dipanggil “tarian kura-kura”—iaitu kelakuan penyu tempayan (loggerhead turtles) yang sungguh comel apabila berada dekat dengan makanan. Kura-kura itu akan menegakkan badannya, membuka mulut, mengepakkan sirip hadapannya, dan berpusing-pusing di dalam air. Namun, kajian menunjukkan bahawa gangguan gelombang radio boleh mengacau “GPS” dalaman kura-kura itu. Ia mengelirukan arah pergerakan, mengalihkan perhatian daripada sumber makanan, dan malangnya, menghentikan tarian kura-kura tersebut.

Alkitab menceritakan satu peristiwa ketika Daud menari. Tabut perjanjian melambangkan kehadiran Tuhan. Pada suatu masa, tabut itu dibawa ke Yerusalem dan “Daud menari-nari dengan penuh semangat” (2 Samuel 6:14). Tetapi beberapa tahun kemudian, raja itu menjadi lalai. Dia berdosa dengan Batsyeba dan menyebabkan suaminya terbunuh dalam peperangan (11:4, 14-15). Malah, anak yang dilahirkan oleh wanita itu sedang nazak. Dalam penyesalan dan kesedihan yang mendalam, Daud “berpuasa dan bermalam dengan berbaring di tanah, memakai kain kabung” (12:16).

Seperti Daud, kita bertumbuh dan hidup subur dalam hadirat Tuhan, tetapi dosa mengalihkan perhatian kita daripada-Nya, lalu kita berhenti “menari”. Bagaimanakah kita dapat menemukan kembali sukacita kita? Dengan berpaling daripada dosa yang mengacau hubungan kita dengan Tuhan. Apabila kita bertaubat, kita menemukan pengharapan di dalam Dia. Daud sendiri menulis tentang belas kasihan Tuhan: “Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang; Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan” (Mazmur 30:11). Sesungguhnya, Dialah Tuhan sejati yang layak kita mempersembahkan tarian di hadapan-Nya.