Selama berabad-abad, orang ramai terpesona dengan Cawan Suci (Holy Grail)—cawan yang dipercayai digunakan oleh Yesus semasa Perjamuan Terakhir. Legenda tentang Raja Arthur dan kesateria Meja Bulat menceritakan keghairahan mereka dalam mencari cawan itu. Mereka percaya cawan tersebut mempunyai kuasa ajaib. Dalam sebuah filem pula, Indiana Jones dan ayahnya, Henry, berjaya memenuhi pencarian seumur hidup Henry terhadap Cawan Suci itu.

Walaupun kisah-kisah ini menarik untuk diceritakan, kebenarannya jauh lebih mudah. Cawan itu sendiri tidak mempunyai kuasa istimewa. Kuasa yang sebenar terletak pada apa yang dilambangkannya. Matius menggambarkan suasana di ruang besar di tingkat atas pada malam sebelum Yesus disalib: “Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan, mengucap syukur, lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa’ ” (26:27-28). Cawan itu melambangkan darah Yesus yang tumpah bagi pihak kita.

Yohanes Pembaptis memperkenalkan Yesus sebagai “Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia” (Yohanes 1:29). Ibrani 9:22 memberitahu kita, “Tanpa tumpahan darah tidak ada pengampunan.” Paulus menulis bahawa Kristus sendiri ialah “Anak domba Paskah kita” (1 Korintus 5:7). Yesus telah membayar hukuman bagi dosa-dosa kita. Betapa bersyukurnya kita atas darah Sang Juruselamat kita yang telah dicurahkan, Sang Anak Domba!