“Kamu pandai bermain gitar,” kata saya kepada seorang kawan baharu di gereja. “Terima kasih,” jawabnya. “Itu pelayanan saya.” Perkataan itu muncul lagi—pelayanan. Saya tidak tahu apa maksudnya atau bagaimana seseorang boleh “mendapat” pelayanan. Tetapi kawan saya sebenarnya menggunakan kebolehan muzik yang telah dikurniakan kepadanya untuk melayani orang lain. Kemudian, apabila saya mendapati bahawa salah satu kurnia rohani saya ialah menasihati atau menggalakkan orang lain, saya agak kecewa. Ia kelihatan terlalu biasa. Namun tidak lama kemudian, saya sedar bahawa sebagai ketua dalam kelompok kecil kami, saya sangat suka menulis nota dorongan atau menelefon ahli-ahli kumpulan kami. Tanpa sedar, saya telah menggunakan salah satu kurnia rohani saya.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, setiap kita diberikan kurnia rohani untuk melayani dalam gereja (1 Korintus 12:6). Kadang-kadang kita tidak tahu apa kurnia itu, namun kita tetap setia melayani di tempat yang ada keperluan. Roh Kudus akan melakukan selebihnya (ayat 4-6, 8-11).

Seperti tubuh manusia yang mempunyai banyak anggota dengan fungsi yang berlainan, demikian juga dalam Kristus, “begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus, dan saling memiliki. Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita” (Roma 12:5-6). Mengajar, menggalakkan, memberi, dan menunjukkan belas kasihan hanyalah sebahagian kurnia rohani yang disebut dalam petikan kitab Roma ini (ayat 6-8). Apa pun kurnia rohani yang diamanahkan Roh Kudus kepada kita, marilah kita menggunakannya untuk melayani orang lain dalam gereja—tubuh Kristus (1 Korintus 12:27).