Lukisan para malaikat itu sebenarnya sudah ada di situ sejak dahulu, tetapi tiada seorang pun yang masih hidup pernah melihatnya. Lukisan tersebut menghiasi dinding Gereja Old North di Boston, dengan malaikat-malaikatnya memandang ke bawah dari tempat yang tinggi, tetapi telah dilitupi oleh beberapa lapisan cat selama lebih daripada satu abad. Rekod gereja menunjukkan sebuah kontrak bahawa hasil seni ini adalah karya seorang ahli jemaah pada tahun 1730 ketika gereja itu sedang dibina. Projek pemulihan yang bermula pada tahun 2017 akhirnya menemukan semula lukisan para malaikat tersebut.
Alkitab juga berbicara tentang makhluk-makhluk rohani—yang benar-benar wujud, bukan sekadar lukisan—yang hadir walaupun orang lain tidak menyedarinya. Pada suatu ketika, nabi Elisa dikepung oleh tentera raja Aram. Apabila hambanya melihat pasukan musuh itu, dia berseru, “Aduhai, tuanku! Apakah yang harus kita lakukan?” (2 Raja-Raja 6:15). Elisa menjawab, “Jangan takut, kerana yang menyertai kita lebih ramai daripada yang menyertai mereka” (ayat 16). Elisa pun berdoa supaya mata hambanya dibuka, lalu “dia melihat gunung itu penuh dengan kuda dan kereta berapi mengelilingi Elisa” (ayat 17).
Malaikat-malaikat ialah “roh-roh yang melayani, yang diutus untuk melayani mereka yang akan mewarisi keselamatan” (Ibrani 1:14), iaitu utusan Tuhan yang dihantar untuk menolong kita. Kita mungkin melihat mereka atau mungkin tidak, tetapi mereka tetap ada kerana Tuhan mempunyai lebih banyak cara untuk menjaga kita daripada yang dapat kita bayangkan. Hal itu sepatutnya mendorong kita untuk memuji Dia, sebagaimana para malaikat memuji Dia.
