Seorang penyelamat pantai dari Bulgaria, Yane Petkov, memenangi rekod dunia kerana berenang dengan tangan dan kakinya terikat. Dia berenang sejauh 3,380 meter di dalam air, tetapi menambah satu lagi cabaran—dia membalut tubuhnya dengan guni.

Kesabaran dan kekuatan yang diperlukan untuk terus bergerak walaupun dalam keadaan begitu “terikat” sangat mengagumkan saya. Rasul Paulus juga menunjukkan ketabahan yang kuat terhadap rintangan ketika dia melayani Tuhan pada zaman gereja mula-mula. Walaupun menghadapi keletihan, kelaparan, kurang tidur dan pukulan, Paulus tetap meneruskan pemberitaan Injil dan menulis surat-surat untuk menguatkan serta mengajar sesama orang percaya.

Paulus menulis surat terakhirnya kepada Timotius ketika dia diasingkan di penjara Rom, menunggu hukuman mati. Walaupun rantai membelenggu tubuhnya, dia menyatakan bahawa berita baik itu tidak dapat “dirantai” (2 Timotius 2:9). “Oleh sebab itu,” kata Paulus, “aku menanggung segala sesuatu” supaya orang lain berpeluang mendengar dan menerima kebenaran tentang Yesus Kristus (ayat 10).

Tuhan dapat menolong kita bertahan dalam apa jua kesukaran yang menghalang kita daripada melayani Dia. Keterbatasan fizikal seperti penyakit, kecederaan dan ketidakupayaan memang memerlukan perhatian dan penjagaan, tetapi semuanya itu tidak dapat mengatasi kuasa Tuhan, yang menjadi sempurna dalam kelemahan kita (2 Korintus 12:9). Marilah kita memuliakan Tuhan apabila Dia bekerja melalui kita untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dapat kita lakukan dengan kekuatan sendiri.