Jay memiliki sebuah Alkitab terbitan The Gideons, tetapi pemikirannya yang analitikal (cenderung untuk memikir, meneliti, atau menilai sesuatu dengan cara yang logik, terperinci, dan sistematik) menyukarkannya untuk menerima mukjizat-mukjizat yang tercatat di dalam Alkitab. Namun, satu perkara mengganggunya: iman sejati seorang sahabatnya. Maka Jay berdoa dengan permintaan yang agak aneh. Dia berkata kepada Tuhan, “Jika Engkau mahu aku percaya kepada-Mu, lakukanlah sesuatu yang tidak dapat aku jelaskan.”

Suatu hari, Jay terdorong untuk mencari Alkitabnya. Namun dia tidak dapat mencarinya. Bagaimana mungkin? Biasanya, dia tidak pernah tersalah meletakkan barang.

Kemudian dia memandu dalam hujan ke tempat kerjanya sebagai pensyarah di Universiti Zurich. Ketika keluar dari keretanya, dia ternampak sebuah Alkitab Gideon di atas jalan yang basah. “Aneh,” fikirnya. Apabila dia mengambilnya, dia mendapati Alkitab itu tetap kering walaupun hujan turun deras. Sesuatu yang tidak dapat dijelaskannya!

Alkitab Gideon dinamakan sempena seorang tokoh Perjanjian Lama dari Israel. Apabila Tuhan memilih Gideon untuk memimpin Israel berperang melawan tentera yang besar, Gideon dipenuhi keraguan. Dia berkata kepada Tuhan, “Aku akan membentangkan bulu domba di tempat pembantingan; apabila embun hanya ada di atas bulu domba … tahulah aku bahawa Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku” (Hakim-Hakim 6:37). Tuhan menjawab cabaran Gideon itu bukan sekali, tetapi dua kali (ayat 39-40).

Doa yang penuh keraguan bukanlah cara yang seharusnya kita teladani. Namun, doa seperti itu boleh menyingkapkan sifat Tuhan. Gideon memimpin pasukan yang kecil dan mencapai kemenangan yang besar (Hakim-Hakim 7). Jay pula meletakkan imannya kepada Yesus, menyedari bahawa doanya telah dijawab oleh Tuhan yang penuh kasih, yang melakukan perkara-perkara yang tidak dapat kita jelaskan.