Seekor ikan paus bongkok betina seberat lima puluh tan telah berenang ke dalam jaring tali perangkap ketam di pesisir pantai California, lalu terperangkap dalam keadaan yang sangat kusut. Beratus-ratus meter tali dan ratusan kilogram perangkap membelit ikan paus itu ketika berjuang untuk terus terapung. Empat orang penyelam datang menyelamatkannya dengan berenang di bawah perut ikan tersebut. Selama satu jam, mereka memotong tali—suatu pekerjaan yang sangat berbahaya kerana satu hayunan ekornya sahaja boleh membunuh mereka. Selepas dibebaskan, ikan paus itu tidak terus berenang menjauh. Sebaliknya, ia berenang menghampiri dan menyentuh setiap penyelam dengan lembut. “Bagi saya, rasanya ia sedang berterima kasih kepada kami,” kata salah seorang penyelamat.

Sama ada ikan paus dapat mengungkapkan rasa bersyukur atau tidak, sikap bersyukur ialah bahagian penting sebagai manusia. Ia sangat penting dalam kehidupan kita bersama Tuhan. Ramai antara kita mengucap syukur kepada-Nya untuk berkat-berkat besar (seperti kelahiran seorang anak atau kesembuhan daripada penyakit). Namun, Paulus mengingatkan kita supaya mengucap syukur atas setiap pemberian yang kita terima, untuk setiap kebaikan yang kita alami. Kita dipanggil untuk “sentiasa mengucap syukur kepada Tuhan,” tulis Paulus (Efesus 5:20). Bukan kadang-kadang. Bukan hanya untuk saat-saat yang istimewa. Tetapi pada setiap masa. Untuk menegaskan maksudnya, Paulus menambah lagi: “Pergunakanlah setiap kesempatan” dan bersyukurlah “untuk segala sesuatu” (ayat 16, 20).

Rasa syukur yang sejati adalah lebih daripada sekadar kata-kata yang kita ucapkan sekali-sekala; ia sepatutnya menjadi sikap hidup kita. Hati yang bersyukur membawa kita kembali kepada Tuhan dengan berulang kali, dan selalu disertai pujian kepada-Nya!