Seorang atlet terkenal duduk tegak di tempat duduknya di kapal terbang ketika bersiap untuk menyertai satu kejohanan yang dia yakin akan menang. Seorang pramugari berlalu dan berkata, “Tuan, sila pasang tali pinggang keledar.” Lelaki itu tersenyum. “Superman tidak perlu memakai tali pinggang keledar.” Pramugari itu segera menjawab, “Superman juga tidak perlu menaiki kapal terbang. Sila pakai tali pinggang keledar.” Lalu atlet itu pun berbuat demikian.

Kejayaan boleh membuat kita menjadi besar kepala. Kita mungkin berasa tidak memerlukan tali pinggang keledar atau arahan pramugari tentang apa yang perlu dilakukan. Kita merasakan bahawa kita mampu menjaga diri sendiri. Jika sikap ini dibawa ke dalam gereja, kita menjadi seperti mata yang berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu” atau kepala yang berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu” (ayat 21). Sebenarnya, setiap anggota tubuh diperlukan, dan “anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan” (ayat 22).

Kita dicipta menurut gambaran Allah Tritunggal: Bapa, Anak, dan Roh Kudus, yang wujud dalam komuniti kasih yang saling bergantung. Tuhan, yang wujud dalam hubungan yang sempurna dalam diri-Nya, menjadikan kita untuk hidup dalam hubungan dengan orang lain, baik dalam kehidupan seharian mahupun dalam jemaah. Setiap kita berbeza, dan itulah sesuatu yang baik. “Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran?” (ayat 17). Setiap kita tidak sama, tetapi setiap kita “amat diperlukan” (ayat 22). Siapakah yang membantu anda dalam gereja anda? Beritahulah mereka bahawa anda menghargai mereka, anda melihat pelayanan mereka, dan ucapkanlah terima kasih atas pelayanan mereka. Mintalah Tuhan menunjukkan kepada anda di mana anda dapat melayani orang percaya yang lain.