Pepatung ialah serangga kecil yang mempunyai keupayaan terbang dan ketahanan yang sangat menakjubkan. Kebolehan serangga ini di udara ini telah dikaji untuk membantu meningkatkan teknologi penerbangan. Baru-baru ini, saintis mendapati bahawa dengan sayapnya yang mengepak kira-kira tiga puluh kali sesaat, seekor pepatung yang terjatuh dalam keadaan terbalik mampu membalikkan posisinya semula dalam hanya 0.2 saat. Matanya juga mampu memproses sehingga dua ratus imej sesaat untuk menentukan arah dan membuat pelarasan kecil.

Kreativiti dan hikmat Tuhan terserlah di seluruh alam semula jadi. Dalam kitab Ayub, watak utama bergelut untuk memahami penderitaannya dengan kebaikan dan perbenaran Tuhan. Tuhan menjawab dengan bertanya kepada Ayub, “Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi?” (Ayub 38:33). Tuhan kemudian menggambarkan pelbagai haiwan, daripada burung dan kambing, hinggalah kepada haiwan pemangsa besar. Tuhan bukan sahaja mengetahui keperluan setiap haiwan untuk terus hidup, tetapi juga mendengar tangisan anak-anak haiwan yang kelaparan (Ayub 38:39-41). Tuhan telah memberi ciri-ciri yang unik kepada setiap haiwan, seperti burung unta yang boleh berlari laju dan tenaga lembu yang kuat, supaya haiwan-haiwan itu dapat terus hidup dan berkembang.

Bagaimanakah sebenarnya seekor pepatung dapat bergerak dengan begitu luar biasa? Ada banyak yang perlu kita pelajari. Namun kita boleh percaya: sekiranya Tuhan kita yang Maha Mengetahui boleh mencipta semua makhluk yang istimewa ini, Dialah juga Tuhan yang tahu bagaimana membawa kita keluar daripada malam yang gelap-gelita, dan menuju ke hadirat-Nya yang terang dan penuh sukacita.