Setelah menunggu selama lima puluh lima tahun, pasukan bola sepak England akhirnya berjaya mara ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah. Perlawanan dengan Itali berakhir seri, dan penentuan dibuat melalui sepakan penalti. Harapan terakhir England terletak pada seorang pemain muda, Bukayo Saka. Namun, tendangan penalti Saka berjaya ditepis oleh penjaga gol Itali. Peminat England menangis; mereka terlepas peluang untuk meraih kejuaraan.
Namun, apa yang berlaku selepas itu tidak mudah dilupakan. Pengurus pasukan England, Gareth Southgate, berjalan ke arah Saka yang hancur luluh lalu memeluknya. Southgate memahami perasaan Saka. Pada tahun 1996, ketika masih muda, Southgate sendiri pernah gagal menjaringkan bola penalti yang menyebabkan England tersingkir daripada separuh akhir. Pengurus England ketika itu, Terry Venables, telah menghiburnya dengan cara yang sama.
“Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan Kita Yesus Kristus,” kata Paulus, “Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah” (2 Korintus 1:3-4). Seperti Southgate yang menghulurkan penghiburan yang pernah diterimanya kepada Saka, Paulus juga mengalami penghiburan Tuhan dalam kesusahannya yang memampukan dia menghibur orang lain dan membina ketabahan mereka (ayat 6). “Allah sumber segala penghiburan” kita (ayat 3), dan Dia dapat memakai kekecewaan kita untuk kebaikan.
Oleh itu, marilah kita melakukan hal yang sama dengan menghulurkan penghiburan Tuhan dan membina rangkaian dorongan yang tidak terputus.
