Ben telah membeli perisian komputer cetak rompak selama bertahun-tahun hanya kerana ia lebih murah. Walaupun perbuatannya itu menyalahi undang-undang dan melanggar peraturan hak cipta, dia tidak merasakan ia salah dari segi moral. Lagipun, semua orang pun berbuat demikian, dan kenapa dia harus membeli perisian asli yang mahal? Siapakah yang akan menyiasat perbuatannya?
Namun, selepas mendengar ceramah tentang contoh-contoh menjalani hidup sehari-hari berdasarkan piawaian Tuhan, Ben, seorang Kristian baru yang sedang bertumbuh dalam iman, mula tertanya-tanya, Apakah maksudnya melakukan perkara yang benar?
Ben kemudian membuat keputusan untuk menggantikan semua perisiannya dengan versi asli. Harganya jauh lebih mahal, tetapi, seperti yang dijelaskan Ben kepada sahabat-sahabatnya, “Tuhan tahu. Dan Dia memanggil kita melakukan hal yang benar, benar?”
Dalam Amos 7, Tuhan mengingatkan orang Israel bahawa piawaian-Nya adalah adil dan mutlak, dan ia dipakai untuk semua orang, termasuk bangsa yang dikasihi-Nya. Hukum dan piawaian moral-Nya umpama “batu ladung” (ayat 8)—tali pemberat yang digunakan oleh tukang bina untuk memastikan integriti struktur, menunjukkan sama ada sebuah dinding dibina lurus menegak dengan sempurna
Walaupun Tuhan mungkin menunjukkan belas kasihan, Dia tidak mengkompromikan keadilan-Nya–itulah sebabnya Dia mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk mati menggantikan kita sebagai bayaran atas dosa kita. Alkitab menunjukkan sama ada kita mengikut jalan-Nya atau tidak. Dengan kasih kurnia-Nya, Tuhan menolong mereka yang percaya kepada Yesus untuk hidup dengan cara yang menyenangkan hati-Nya dan membawa kemuliaan kepada-Nya, dengan melakukan apa yang benar.
baik yang besar mahupun yang kecil.
ILHAM
Memerhatikan cara para penulis Alkitab menyusun bahan penulisan mereka dapat membantu kita memahami Alkitab dengan lebih baik. Dalam Amos 1-6, mesej nabi Amos sering dimulakan dengan ungkapan seperti “Beginilah firman TUHAN” (rujuk 1:3, 6, 9, 11, 13) atau seruan untuk “dengarlah“ apa yang difirmankan oleh Tuhan (rujuk 3:1; 4:1). Dalam Amos 7, terdapat perubahan yang ketara, daripada “firman” yang difirmankan oleh Tuhan Sendiri kepada “penglihatan” yang Tuhan “perlihatkan” kepadanya (ayat 1). Cara penyampaian ini berterusan hingga ke penghujung kitab tersebut (rujuk 8:1; 9:1). Salah satu penglihatan dalam fasal 7 ialah batu ladung, iaitu yang digunakan untuk memeriksa sama ada sesuatu tembok dibina dengan tegak dan lurus (ayat 7-8). Batu ladung itu melambangkan suatu ukuran atau piawaian yang menentukan apa yang benar dan tepat. Ukuran atau piawaian untuk kehidupan yang benar bagi orang yang percaya kepada Yesus ialah Kristus Sendiri. Rasul Yohanes berkata, “Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah Kristus”(1 Yohanes 2:6).
